Selasa, 24 Mei 2016

PENGGUNAAN TANGGA, ESKALATOR DAN LIF



PENGGUNAAN TANGGA, ESKALATOR DAN LIF

Umum mengetahui TANGGA, ESKALATOR dan LIF merupakan satu bentuk hubungan aras bawah dan aras tinggi iaitu perhubungan diantara satu aras dengan aras yang lain. Kebanyakan bangunan yang tinggi mempunyai tiga kemudahan ini. Kemudahan ini amat penting kepada pengguna yang ingin menaiki aras bawah ke aras yang lebih tinggi. Tetapi penggunaan tiga kemudahan ini juga boleh menimbulkan masalah dan ketidakpuasan hati kepada pengguna. Terdapat beberapa masalah berkenaan penggunaan kemudahan ini. Antara masalah yang timbul ialah kemudahan yang tidak terjaga, selalu rosak, pertikaian siapa patut didahulukan dan isu keselamatan kemudahan ini.

Baru – baru ini kita dikejutkan dengan isu keselamatan penggunaan eskalator. Banyak kemalangan melibatkan eskalator telah berlaku iaitu sebanyak 31 kes telah berlaku sejak 5 tahun yang lalu. Antara kemalangan yang melibatkan eskalator ialah pada 31 Januari 2010 yang melibatkan seorang kanak – kanak berumur 3 tahun yang mana skirt kanak – kanak tersebut telah tersangkut di tepi muka tangga escalator tersebut. Kemalangan ini telah menyebabkan kecederaan yang begitu serius pada kanak – kanak tersebut. Dan rekod yang terbaru adalah pada 8 Februari 2016 yang beraku di KL Sentral dimana seorang kanak – kanak putus kaki akibat tersepit escalator di tempat tersebut. Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib, kemalangan yang berlaku adalah kesilapan individu yang mana 99% kes melibatkan pemakaian kasut getah. Namun, keadaan penyelenggaraan dan operasi escalator juga dipertikaikan yang mana apabila dilakukan pemeriksaan terdapat beberapa kepincangan yang berlaku dalam penyelenggaraan dan operasi escalator tersebut dan jika penyelenggaraan dan operasi escalator tidak dipantau ianya tidak selamat digunakan.

Isu keselamatan melibatkan tangga pula adalah seperti tiada pemegang keselamatan pada sisi tangga dan penjagaan kebersihan tangga yang tidak di ambil berat. Bagi bangunan yang baru, isu berkenaan keselamatan tangga tidak menjadi masalah tetapi untuk bangunan lama yang telah berusia, isu seperti pemegang sisi tangga yang reput dan tidak dijaga serta isu kebersihan amat teruk sekali. Isu ini tidak boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan soal keselamatan pengguna. Jika tidak diambil tindakan yang sewajarnya, ianya boleh menyebabkan kemalangan dan medatangkan kecederaan. Selain itu, tangga yang kotor juga boleh mendatangkan penyakit kepada pengguna. Pihak berwajib perlu mengambil tindakan yang sewajarnya dalam isu ini. Tangga – tangga yang rosak perlu diperbaiki dan tangga yang kotor perlu dibersihkan supaya pengguna yang menggunakannya merasa selamat dan yakin untuk menggunakan tangga.

Lif merupakan antara perhubungan aras yang paling efektif untuk bangunan yang tinggi. Pergerakan yang cepat dan pantas menjimatkan masa perhubungan dari aras bawah ke aras yang lebih tinggi dan begitulah sebaliknya. Namun, terdapat juga masalah dalam penggunaan lif ini iaitu keadaan lif yang tidak diselenggara dengan baik. Penyelenggaraan yang dilakukan secara remeh temeh ini boleh menyebabkan berlakunya kemalangan kepada pengguna. Kebiasaanya, lif –lif di perumahan awam dan kondominium yang usang banyak yang tidak diselenggara dengan baik. Banyak kemalangan lif yang berlaku terjadi di perumahan awam dan kondominium lama. Contoh kemalangan yang berlaku ialah pada tahun 2013 di sebuah pangsapuri awam yang melibatkan pelajar tersepit dicelah lif.  Siasatan telah dijalankan dan medapati tiada rutin penyelenggaraan yang betul telah menyebabkan kejadian ini berlaku. Hal ini memberi pengajaran kepada kontraktor – kontraktor lif supaya hendaklah sentiasa memastikan penyelenggaraan berkala dilakukan supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku.

Namun, isu yang paling besar melibatkan penggunaan ketiga – tiga perhubungan aras ini ialah lebih kepada sikap dan siapa yang patut didahulukan. Jika dilihat kepada sikap sambil lewa kontraktor yang menjalankan penyelenggaraan, ianya akan memberikan kesan yang begitu mudarat iaitu boleh menyebabkan kemalangan berlaku. Namun sikap pengguna sendiri juga patut dipersalahkan dalam menjaga kemudahan ini contohnya seperti kebersihan, vandalisme, mendahulukan orang yang sepatutnya dan sikap tidak sabar pengguna sendiri. Kebanyakan yang kita perhatikan, lif – lif perumahan awam sangatlah kotor dan tidak terjaga. Bukan setakat terdapat sampah sahaja di dalam lif tetapi yang meludah di dalam lif pun ada. Ini menunjukkan bahawa budaya kebersihan dikalangan masyarakat kita adalah rendah dan tidak terdidik walaupun Malaysia mempunyai fasiliti yang bertaraf tinggi. 

Bukan setakat lif sahaja yang teruk, tangga yang disediakan lagi teruk daripada lif. Kadang – kadang jika menuruni tangga, kita akan tercium bau hancing dan bau busuk yang begitu kuat kerana terdapat segelintir daripada kita yang kencing dan berak di atas tangga. Selain itu, tangga juga tidak dicuci secara berkala menyebabkan kotoran yang terdapat di tangga tidak dapat di tanggalkan dan tangga akan kelihatan semakin kotor. Kadang – kadang terdapat segelintir daripada kita yang menjadikan tangga sebagai tempat menyimpan barang – barang lusuh atau lebih difahami lagi menjadikan tangga sebagai stor simpanan. Hal ini amatlah memeritkan kerana kita semua tahu jika berlaku kebakaran pada aras tinggi, lif dan eskalator tidak boleh digunakan dan yang hanya boleh digunakan ialah tangga. Oleh yang demikian, pihak berwajib perlu memastikan bahawa lif dan tangga sentiasa dalam keadaan yang bersih supaya ianya dapat digunakan secara sempurna.

Vandalisme terhadap kemudahan ini juga banyak terjadi di Negara kita. Antara kes yang berlaku ialah perbuatan menekan butang kecemasan lif dan menekan loceng di dalam lif walaupun ianya bukan tujuan kecemasan. Selain itu, perbuatan mencabut dan menanggalkan tulisan pada butang lif juga sering terjadi. Perbuatan menampal poster dan menconteng tulisan yang tidak sepatutnya juga berlaku. Pada bahagian tangga pula, perbuatan merosakkan pemegang tangga sentiasa berlaku. Selain merosakkan pemegang tangga, perbuatan melukis dan menconteng dinding tangga dengan lukisan yang tidak sepatutnya menakutkan orang ramai untuk menggunakan tangga dan menjadikan tangga tidak selamat untuk digunakan. Perbuatan vandalisme ini perlu dihentikan supaya kemudahan ini sentiasa dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan. Para pengguna perlu bijak menegur jika terdapat perbuatan vandalisme yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Terdapat satu lagi isu yang perlu diperbetulkan dalam penggunaan tiga kemudahan ini iaitu siapa yang patut diberikan keutamaan terutamanya penggunaan lif. Seperti juga kemudahan awam yang lain, orang – orang seperti ibu mengandung, orang sakit, orang kelainan upaya (OKU), warga emas patut diberikan keutamaan dalam menggunakan lif. Namun apa yang kita dapati terutamanya di dalam pasaraya besar, orang lebih muda dan ada keupayaan ini berebut untuk menaiki lif. Tidakkah ini sangat memalukan. Penulis juga sering menegur orang yang malas untuk berjalan dan menaiki tangga ini supaya mengutamakan golongan yang lebih memerlukan dahulu. Bagi golongan yang mampu berjalan, berjalan la untuk menaiki tangga atau eskalator dan berikan lif kepada mereka yang lebih memerlukan. 

Kita juga sering melihat ibubapa yang membawa anak menggunakan stroller baby berebut untuk menaiki lif bersama golongan yang mampu berjalan ini. Dan terdapat ibubapa terpaksa mengalah dan membawa stroller baby menaiki eskalator dan ini amat berbahaya kepada mereka. Tidakkah golongan yang mampu menaiki tangga dan lif ini berasa bersalah dengan perbuatan mereka ini. Dalam kehidupan kita ini, kita perlu mempunyai sikap toleransi dan saling hormat – menghormati. Dengan sikap yang baik ini kita akan mengutamakan golongan yang lebih memerlukan terlebih dahulu. Diri kita sendiri juga akan menempuhi keadaan seperti golongan yang tidak berkemampuan ini dan akan merasa keadaan yang demikian. Oleh itu, sebelum diri kita sendiri merasa keadaan demikian, kita hendaklah mendidik diri kita dan keluarga kita supaya lebih mengutamakan golongan yang lebih memerlukan. Dan jika kita mampu, kita perlu menegur orang di sekeliling kita supaya cuba untuk berbuat kebaikan dengan mengutamakan golongan yang lebih memerlukan ini.


Sikap yang baik yang kita tonjolkan ini bukan sahaja memberikan kebaikan untuk diri kita bahkan untuk masyarakat di sekeliling kita. Kita juga akan lebih dihormati jika kita mengamalkan sikap toleransi dan saling hormat menghormati. Kita perlu mendidik diri kita dahulu supaya ianya akan menjadi contoh ikutan yang baik kepada orang di sekeliling kita. Pengurusan bangunan – bangunan tinggi juga perlu lebih peka dan perihatin dalam perkara ini. Pihak pengurusan perlu meletak papan tanda supaya pengguna lebih mengutamakan golongan yang lebih memerlukan terlebih dahulu.

1 ulasan: