MALAYSIA,
DIMANAKAH KITA?
Pergolakan dalaman parti
politik, kesangsian hidup bermasyarakat dan keghairahan ekstremisme serta
kejatuhan ekonomi global muncul dalam negara yang dulunya menjadi simbol kepada
pembangunan ekonomi, keamanan dan contoh negara yang masyarakatnya adalah
majmuk berbilang bangsa dan agama. Malaysia, Dimanakah kita? Isu - isu utama
yang bertebaran banyak melukakan hati masyarakat dan menyebabkan kita makin
jauh antara satu sama lain. Mungkin bagi sesetengah pihak isu - isu yang terpalit
ini dapat menyatukan dan menguatkan masyarakat tetapi jauh di sudut hati dan
pandangan, ianya adalah barah yang semakin merebak dan berkembang. Secara
zahirnya memang kita bersatu tetapi secara batinnya kita terluka.
Kekuatan politik merupakan
tunjang kepada negara yang berpegang kepada Demokrasi Berparlimen. Malaysia
merupakan negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen Dan Raja
Berperlembagaan. Parti politik yang berpengaruh dan kuat akan memenangi
pilihan raya seterusnya memegang tampuk pemerintahan negara. Pilihan raya umum
yang ke 13 pada 2013 menyaksikan Barisan Nasional yang parti utamanya adalah
UMNO, MCA dan MIC berjaya sekali lagi memerintah negara dengan menewaskan parti
pembangkang iaitu Pakatan Rakyat (dahulunya dikenali sebagai Barisan Alternatif)
PAS, KEADILAN dan DAP. Namun kemenangan yang diperolehi seperti yang sudah
dijangkakan iaitu dengan sedikit kelebihan sahaja pada Barisan Nasional dan itu
pun telah dipertikaikan oleh pihak pembangkang melalui tafsiran undi popular.
Tetapi bagi negara yang berpegang kepada Demokrasi Berparlimen, Parti Barisan
Nasional tetap merupakan pemerintah utama Negara Malaysia.
PERGOLAKAN DALAMAN PARTI POLITIK.
Umum mengetahui, parti - parti
politik di Malaysia dari dahulu lagi senantiasa mengalami pergolakan dalaman
dan luaran. Tetapi, dewasa ini, pergolakan dalaman dan luaran parti - parti
politik ini semakin kuat dan tegang berbanding waktu terdahulu. Bahkan bukan
satu parti politik yang bergolak tetapi boleh dikatakan kesemua parti politik
ini yang bergolak. Pergolakan yang berlaku ini bukan sahaja merugikan rakyat
bahkan turut merugikan negara. Secara amnya, negara yang berlakunya pergolakan
politik ini tidak akan bertahan lama dan semakin lama semakin jatuh. Pergolakan
yang berlaku bukan sahaja memutuskan silatulrahim antara parti politik tetapi
turut memutuskan silatulrahim ahli di dalam parti tersebut. Dan jika pergolakan
ini tidak dipandang serius, ianya boleh menyebabkan negara tergadai dan rakyat
menjadi mangsa kenaifan parti politik ini. Di sini, diterangkan satu persatu
pergolakan yang berlaku dalam setiap parti politik yang secara tidak langsung
rakyat mengetahui dan sedang mengikuti perkembangannya.
1.
BARISAN
NASIONAL (KERAJAAN)
Ditunjangi oleh 13 parti
komponen yang utama iaitu UMNO, MCA, MIC, PBB, SUPP, GERAKAN, MYPPP, LDP, PBRS,
UPKO, PBS, SPDP, dan PRS. Merupakan parti yang memimpin Negara pada ketika ini
dan diketuai oleh parti tunjang orang melayu iaitu UMNO. Dahulunya dikenali
sebagai PARTI PERIKATAN namun ditukarkan kepada PARTI BARISAN NASIONAL yang
mana matlamatnya lebih kuat dan kukuh dengan penyertaan semua parti politik
yang terdiri dari pelbagai kaum di Negara ini. Pada dasarnya PARTI BARISAN
NASIONAL ini adalah lebih realistik dan bermatlamat dari parti pembangkang yang
lain. Namun sejak dihimpat dengan pelbagai isu berkaitan Negara dan isu – isu
besar yang lain, ianya kelihatan sebagai parti yang semakin suram lebih – lebih
lagi hanya UMNO yang nampak kesungguhannya berbanding parti komponen yang lain
dan ini menunjukkan bahawa BARISAN NASIONAL hanya diterajui oleh bumiputera melayu
(UMNO) sahaja sedangkan BARISAN NASIONAL ini merupakan parti yang diwakili oleh
pelbagai kaum di Malaysia.
I.
UMNO
UMNO
merupakan parti komponen utama di dalam BARISAN NASIONAL. Diterajui oleh kaum
melayu sejak penubuhannya (11 Mei 1946) sehingga sekarang. Walaupun terpalit
dengan pelbagai isu dari awal penubuhan sehingga tertubuhnya UMNO baru ( UMNO
telah didaftarkan kembali pada tahun 1988) namun ianya dapat dikawal dengan
baik sekali. Pada masa itu juga, UMNO semakin relevan dan dalam keadaan yang
begitu baik dengan pimpinan yang begitu mantap serta presiden yang berkaliber
memacu Negara ke arah Malaysia yang lebih maju dan membangun. Sangkaan panas
hingga ke petang rupanya hujan di tengahari akhirnya berlaku selepas Tun Dr
Mahathir Bin Mohamed melepaskan jawatan Sebagai Presiden Parti dan seterusnya
melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada 31
Oktober 2003.
Selepas Tun
Dr Mahathir Mohamed melepaskan tampuk pemerintahan Negara sebagai Perdana
Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003, maka selepas itu bermula era krisis
dalaman yang begitu ketara yang melanda UMNO dengan terpalitnya pelbagai isu
besar. Bermula dengan era Tun Abdullah
Bin Haji Ahmad Badawi (31 Oktober 2003 -3 April 2009), Tun Abdullah ditekan
supaya meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti seterusnya melepaskan jawatan
sebagai Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Tun Abdullah Bin Haji Ahmad
Badawi dikatakan gagal memacu ekonomi Malaysia pada kedudukan yang sepatutnya. Campur
tangan Tun Dr Mahathir dan campur tangan pimpinan tertinggi UMNO serta keadaan
parti pembangkang yang kuat dan terurus pada masa itu, akhirnya Tun Abdullah
terpaksa mengalah dan mengadakan pelan peralihan kuasa dengan melantik Dato’ Seri Najib Tun Abdul
Razak sebagai pengganti. Namun isu ini dilihat lebih ke arah isu nasional dan
bukannya masalah dalaman yang meruncing kerana pada masa itu kelibat Dato’ Seri
Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri kelihatan lebih menonjol dan kuat.
Pada era
perdana menteri yang keenam iaitu Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak ( 3 April
2009 – sekarang) beliau juga tidak dapat lari dari pelbagai isu yang dimainkan
oleh pelbagai pihak. Pada peringkat permulaan, Dato’ Seri Najib dilihat
individu yang paling layak menduduki kerusi tertinggi kerajaan selepas Tun Dr
Mahathir melepaskan jawatan lagi. Namun adat dalam parti, siapa yang menduduki
kerusi timbalan presiden akan terus menggantikan presiden seterusnya menjadi
perdana menteri. Tuah dan rezeki memihak kepada Dato’ Seri Najib akhirnya dan
beliau merupakan orang yang paling layak meduduki kerusi nombor satu Kerajaan
Malaysia. Pada permulaan era pemerintahan beliau, keyakinan rakyat dan matlamat
menjadi semakin jelas dan wawasan yang diimpikan menjadi semakin dekat namun
ianya tidak semudah membina rumah yang sudah bertiang. Isu – isu seperti kes
pembunuhan Altantuya, 1MDB, BRIM, campur tangan isteri dan derma menjadi hangat
umpama luka yang kecil membengkak dan bernanah.
Isu isu
ini terus hangat diperkatakan oleh rakyat lebih – lebih lagi setelah serangan
demi serangan yang dilakukan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir. Selain
itu, serangan yang diterima dari dalam UMNO sendiri juga menyebabkan isu ini
tidak pernah surut dan semakin membara. Percubaan untuk memaksa Dato’ Seri
Najib untuk meletakkan jawatan akhirnya tercapai namun ianya tidak semudah yang
dijangkakan. Sebelum tindakan pihak lawan di ambil, Dato’ Seri Najib terlebih
dahulu mematahkan serangan tersebut bak kata pepatah menyerang dahulu lebih
baik dari bertahan. Akhirnya Tan Sri Muhyidin iaitu Timbalan Perdana Menteri
dan Timbalan Presiden Umno serta Dato’ Seri Shafie Menteri dan Naib Presiden
Umno akhirnya dipecat dalam rombakan kabinet yang dilakukan oleh Perdana
Menteri Dato’ Seri Najib. Dato’ Seri Najib menunjukkan bahawa beliau bukan
sembarangan pemimpin yang boleh diolah mengikut acuan yang ditetapkan oleh
pihak lain. Beliau mempunyai acuan tersendiri yang akan memimpin Malaysia
menuju kejayaan.
Pada
Perhimpunan Agung UMNO 2015, beliau dengan tegasnya memberitahu bahawa beliau
akan terus memimpin parti dan Negara dan sedikit pun tidak tergugat dengan
semua yang berlaku. Ketegasan beliau disampaikan dan ditunjukkan oleh semua
pemimpin bahagian dan cawangan yang mana pimpinan bahagaian dan cawangan
menyampaikan setiap amanat yang telah disampaikan oleh Presiden Parti. Beliau
juga menjawab segala tuduhan yang telah berlaku di dalam parti dan juga kepada
rakyat. Kegusaran dan kebimbangan ahli parti akhirnya reda dengan keyakinan dan
matlamat yang telah disampaikan. Namun terdapat segolongan kecil yang masih
belum dapat menerima kenyataan ini dan terus menyerang Presiden Parti. Tindakan
tegas telah diambil oleh presiden dengan merujuk beberapa individu ke bahagian
disiplin parti dan ianya menunjukkan presiden parti tidak akan berdiam diri.
Keadaan
ini merupakan satu bonus kepada Dato’ Seri Najib kerana beliau menunjukkan yang
bahawa beliau seorang pemimpin yang berani, tegas, dan berwibawa. Sedikit
sebanyak ianya dapat menghasilkan kembali keyakinan ahli parti dan keyakinan
rakyat kepada beliau. Isu isu yang terpalit juga sedikit sebanyak semakin reda
dan beliau secara berani menjawab segala isu besar yang diputarkan oleh pihak
pembangkang dan juga ahli parti yang tidak berpuas hati. Beliau juga menyatakan
bahawa UMNO dibawah pimpinan Beliau akan terus relevan dan terus menunjangi
rakyat dan Negara. Pru ke 14 nanti merupakan medan terbaik bagi UMNO dan pimpinannya
menunjukkan bahawa hanya UMNO yang akan terus membawa wadah perjuangan, kemajuan
dan memimpin parti komponen dalam BARISAN NASIONAL membawa negara kembali ke
landasan yang betul.
II.
MCA DAN GERAKAN
MCA
dan GERAKAN merupakan parti yang mewakili kaum Cina dalam komponen BARISAN
NASIONAL. MCA diasaskan pada 27 Februari 1949 dan merupakan parti yang mewakili
kaum cina sebelum merdeka lagi. MCA merupakan parti yang bersama – sama dengan
UMNO dan MIC semasa proses menuntut kemerdekaan Negara Malaysia pada tahun
1957. Parti GERAKAN diasaskan pada 24 Mac 1968 dan merupakan parti serpihan
daripada MCA selepas berlakunya perpecahan dalaman MCA. Pada permulaan
penubuhannya parti GERAKAN ini mewakili semua kaum di Malaysia, namun ianya
dilihat mewakili kaum Cina kerana penyertaan lebih besar dari kaum Cina iaitu
lebih dari 80%. Pada Pilihanraya Umum 2008, kedua – dua parti terbesar kaum Cina
dalam BARISAN NASIONAL ini mengalami episod paling buruk dengan rekod kekalahan
yang begitu besar. GERAKAN juga telah kehilangan Negeri Pulau Pinang (sehingga
sekarang) dan jatuh ke tangan DAP. Pada Pilihanraya Umum 2008 MCA memenangi 15
kerusi dan GERAKAN 2 kerusi sahaja. Pada Pilihanraya Umum 2008 juga timbul isu
yang dikatakan sebagai Tsunami Politik di Malaysia dan kesannya amat ketara.
Pada
Pilihanraya Umum 2013, kedua – dua parti ini cuba untuk memperbaiki kedudukan
dan menarik kembali pengundi kaum Cina menyokong mereka namun sebaliknya telah
berlaku dengan sekali lagi pada Pilihanraya Umum 2013 kedua – dua parti ini
mengalami kekalahan teruk dengan MCA mendapat 7 kerusi dan GERAKAN mendapat 1
kerusi. Penolakan oleh kaum Cina terhadap parti pro kerajaan ini harus
dipandang serius dan dibuat kajian secara mendalam. Kedua – dua parti ini perlu
mengurangkan pergeseran dalaman dan memperbaiki kembali struktur yang ada.
Parti yang mewakili kaum Cina ini perlu membuktikan bahawa mereka di dalam
BARISAN NASIONAL bukan sekadar melepaskan batuk ditangga, bukan sekadar berada
di tepian tetapi mereka adalah parti yang akan memperjuangkan nasib dan hak
kaum cina pada kerajaan di Malaysia. Mereka perlu membuktikan bahawa hanya
mereka yang mampu menconggak masa depan kaum Cina di Malaysia.
III.
MIC
MIC
diasaskan pada Ogos 1946 dan merupakan parti yang mewakili kaum India di
Malaysia. Parti terbesar kaum India ini banyak memberikan sokongan kepada Parti
BARISAN NASIONAL. Namun MIC telah mengalami nasib yang sama seperti MCA dan
GERAKAN pada tahun 2008 dengan kekalahan yang begitu besar. MIC tewas kepada
DAP dan PKR di kebanyakan kawasan yang ditandingi. Pemimpin utama mereka iaitu
Dato’ Seri Sammy Vellu juga turut tertewas di Sungai Siput. Selepas dihimpit
dengan kekalahan yang teruk dalam pilihanraya umum 2008, MIC juga turut
mengalami masalah dalaman yang teruk. Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi yang
kucar – kacir, menjatuhkan pemimpin sedia ada, perebutan kuasa dan sikap tidak menghormati
antara pemimpin menyebabkan MIC berada dalam tekanan. Hal ini juga turut
berkait dengan perletakan jawatan Dato’ Seri Sammy Vellu yang merupakan
liabiliti dan merupakan tokoh yang agung dalam MIC dan BARISAN NASIONAL.
Namun
begitu, campur tangan Dato’ Seri Najib sebagai Pengerusi BARISAN NASIONAL
tampaknya memberi kesan yang begitu baik. Sebagai Pengerusi BARISAN NASIONAL,
Dato’ Seri Najib memainkan peranannya tersendiri dengan menyediakan kemudahan –
kemudahan yang diperlukan oleh kaum India di Malaysia. Campur tangan ini
menyebabkan kepimpinan MIC sedikit tenggelam dan dibayangi dengan kebaikan
Pengerusi BARISAN NASIONAL ini. Bagi masyarakat India, ianya lebih baik
berbanding pimpinan MIC sendiri kerana masyarakat India boleh terus mengemukakan
masalah yang ada kepada Pengerusi BARISAN NASIONAL. Walaupun dihimpat dengan
pelbagai masalah dan campur tangan Pengerusi BARISAN NASIONAL sendiri, MIC
dilihat masih lagi relevan untuk kaum India di Malaysia dan mampu membawa kaum
India ke hadapan dan ke arah kemajuan.
IV.
PBB & SUPP
PBB
dan SUPP merupakan parti komponen terbesar BARISAN NASIONAL di Sarawak dan
banyak memberikan sumbangan dan kemenangan kepada BARISAN NASIONAL. Keutuhan
kedua – dua parti ini membawa kemajuan serta perpaduan rakyat Sarawak. PBB dan
SUPP merupakan contoh parti terbaik buat masa sekarang cumanya perlu
penyampaian yang baik supaya masyarakat di Sarawak dapat bersatu dengan lebih
erat lagi dengan masyarakat di semenanjung. Kedua – dua parti ini memberikan
sumbangan yang besar dalam kemenangan BARISAN NASIONAL pada Pilihanraya Negeri
2016.
V.
PBS & PBRS.
Seperti
juga PBB dan SUPP di Sarawak, PBS dan PBRS merupakan parti komponen terbesar
BARISAN NASIONAL di Sabah dan banyak memberikan sumbangan dan kemenangan kepada
BARISAN NASIONAL. Keutuhan kedua – dua parti ini membawa kemajuan serta
perpaduan rakyat Sabah. PBS dan PBRS merupakan parti terbaik buat masa sekarang
di Sabah cumanya perlu ada penyampaian yang baik supaya masyarakat di Sabah
dapat bersatu dengan lebih erat lagi dengan masyarakat di semenanjung.
Kepentingan kerjasama antara kerajaan
negeri dan juga kerajaan persekutuan amat penting supaya masyarakat Malaysia
yang dibina pada hari ini merangkumi semua aspek sebagai masyarakat majmuk yang
berbilang kaum dan agama ini.
VI.
PARTI KOMPONEN LAIN (SPDP, PRS, UPKO, LDP,
MYPPP)
Parti
komponen seperti SPDP, PRS, UPKO, LDP dan MYPPP walaupun dilihat sebagai parti
komponen yang kecil dalam BARISAN NASIONAL namun peranan parti – parti ini
tidak boleh dipandang sebelah mata. Parti – parti ini sentiasa bersama
menggerakkan BARISAN NASIONAL ke hadapan. Namun, disebalik keutuhan parti –
parti ini, kesemuanya perlu bersatu untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat
supaya rakyat tahu bahawa parti politik yang membela nasib mereka.
2.
PAKATAN
RAKYAT (PEMBANGKANG)
Pakatan Rakyat
merupakan gabungan pakatan yang terdiri daripada parti politik PAS, DAP dan PKR
dan ditubuhkan pada 1 April 2008 selepas mesyuarat yang dilangsungkan oleh tiga
parti tersebut. Sebelum dikenali sebagai Pakatan Rakyat, gabungan ini dikenali
sebagai Barisan Alternatif. Gabungan Pakatan Rakyat ini telah menafikan
majoriti BARISAN NASIONAL dalam parlimen pada 2 pilihanraya umum yang telah
belangsung iaitu Pilihanraya Umum 2008 dan Pilihanraya Umum 2013. Kekuatan
Pakatan Rakyat ini dilihat mampu untuk mencabar kekuatan Barisan Nasional
seterusnya membentuk kerajaan pada masa hadapan. Namun, harapan yang diimpikan
seakan kabur apabila isu demi isu melanda Pakatan Rakyat. Isu – isu seperti
Hukum Hudud, penggunaan kalimah Allah, demokrasi, kesaksamaan kaum, pembahagian
kawasan dan pergolakan dalaman mula melanda Pakatan Rakyat. Akhirnya Pakatan
Rakyat lebur pada 16 Jun 2015 yang diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim
Guang Eng yang menyatakan bahawa tiada lagi kerjasama antara parti – parti
dalam Pakatan Rakyat. Isu – isu dalaman parti - parti dalam Pakatan Rakyat
turut melingkari dan menjadi barah yang semakin membesar dalam Pakatan Rakyat.
I.
PKR (PARTI KEADILAN RAKYAT)
PKR
(PARTI KEADILAN RAKYAT) ditubuhkan pada 4 April 1999 dan bermula selepas
pemecatan Dato’ Seri Anwar daripada kabinet dan seterusnya pemecatan daripada
UMNO akibat tuduhan rasuah dan kes liwat yang dilakukan. Para penyokong Dato’
Seri Anwar melaungkan slogan REFORMASI yang mana mereka mempertahankan Dato’
Seri Anwar dan mengatakan Dato’ Seri Anwar tidak bersalah. Namun proses
penghakiman yang berlaku telah menjatuhkan hukuman kepada Dato’ Seri Anwar
walaupun terdapat banyak keraguan yang berlaku. Para penyokong dan NGO yang mempertahankan
Dato’ Seri Anwar akhirnya menubuhkan satu parti bagi meneruskan wadah
perjuangan mereka.
Selain
daripada mempertahan Dato’ Seri Anwar, perjuangan mereka juga berkisar kepada
menentang segala korupsi yang ada dan memperjuangkan hak dan demokrasi rakyat.
Pada tahun 2004, mahkamah telah mengugurkan sabitan kesalahan Dato’ Seri Anwar
dan beliau akhirnya dibebaskan dan dilantik sebagai Penasihat PKR. Tetapi
sabitan kesalahan Dato’ Seri Anwar sentiasa berterusan walaupun setelah
dilantik sebagai Ketua Pembangkang Malaysia namun kekuatan orang – orang kanan
dalam PKR telah berjaya menjadikan PKR parti yang kuat dan bermatlamat. Pada
pilihanraya umum 2008, PKR membuktikan kekuatan mereka dengan memenangi
beberapa kawasan pilihanraya dan gabungan bersama PAS dan DAP menafikan 2/3
majoriti BARISAN NASIONAL dalam parlimen.
PKR
dapat membuktikan bahawa mereka merupakan pembela rakyat dalam keadaan struktur
politik di Malaysia yang sedikit panas pada masa itu. Kemenangan ini merupakan
satu inspirasi terbaik untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai. Pada
pilihanraya umum 2013, PKR sekali lagi membuktikan mereka masih relevan untuk
memperjuangkan hak rakyat dan turut menafikan majoriti 2/3 BARISAN NASIONAL.
Namun, keadaan yang tenang dengan kemenangan yang dicanang tidak sebaik yang
disangka, akhirnya berlaku beberapa pergolakan dalam PKR yang mana perebutan
kuasa menjadi keutamaan. Beberapa pergaduhan di beberapa kawasan semasa
pemilihan dan mesyuarat agung turut menjadi perhatian. Namun semua yang berlaku
disangkal oleh PKR dan menuduh ianya adalah propaganda yang dimainkan oleh
media pro kerajaan.
Namun
akhirnya isu – isu besar menyelubungi PKR, bermula isu Kalimah Allah, isu
Langkah Kajang, pemecatan Menteri Besar Selangor (Dato’ Seri Khalid Ibrahim)
dan isu tiada kesepakatan antara adun dalam Pakatan Rakyat dan isu yang terbaru
ialah tiada kesepakatan dalam meletakkan calon dalam Pilihanraya Negeri Sarawak
yang telah diadakan baru – baru ini. Walaupun isu – isu ini lebih dilihat
sebagai tiada kesepakatan dalam Pakatan Rakyat namun ianya sedikit sebanyak
menjejaskan parti yang mana PKR dilihat sebagai kepala dalam Pakatan Rakyat.
PKR juga dilihat tidak dapat membantu dan menyelesaikan pertelagahan antara PAS
dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Sebagai parti yang menerajui komponen dalam Pakatan
Rakyat, PKR sedikit lemah sebagai ketua dalam pakatan.
Dato’
Seri Anwar sekali lagi disabitkan kesalahan meliwat dan hal ini juga menyebabkan
kepimpinan PKR sedikit terjejas. Hukuman penjara selama 5 tahun telah dikenakan
kepada penasihat PKR. Sekali lagi PKR terpaksa meneruskan perjuangan tanpa Dato’ Seri Anwar dan keadaan ini menyebabkan
PKR dalam keadaan tertekan. Walaupun dalam tekanan tanpa pemimpin nombor
satu PKR, Majlis Tertinggi tetap
berusaha menjadikan PKR tetap relevan dan menepati aspirasi rakyat Malaysia.
Untuk mengekalkan momentum pada aras yang betul, PKR perlu memperbetulkan dan
menyelesaikan beberapa isu yang melingkari mereka.
II.
DAP (PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK)
DAP
merupakan parti yang begitu sinonim dengan kaum Cina. Walaupun diwakili oleh
ahli yang pelbagai kaum, namun majoriti ahlinya adalah kaum Cina. Dasar parti
DAP sendiri yang melaungkan slogan
Malaysian Malaysia (Malaysia untuk rakyat Malaysia) telah menarik
perhatian kaum Cina untuk menyertai parti ini. Selain itu, dasar keterbukaan,
sekular dan sosialisme demokratik turut menjadi perhatian. Parti yang begitu
dominan dan merupakan seteru utama UMNO ini banyak mempersoalkan dan menyatakan
ketidakpuasan kepada kerajaan dalam pelbagai aspek seperti dasar – dasar
kerajaan dan perlembagaan. Ditubuhkan pada 18 Mac 1966, parti serpihan daripada
PAP ini secara jelas memperjuangkan untuk sebuah Malaysian Malaysia yang bebas,
berunsur sosialisme demokratik, kesamarataan, hak asasi manusia dan sebuah
Negara yang demokrasi.
Namun,
slogan yang dilaungkan oleh DAP ini secara jelas ditentang oleh kaum Melayu dan
Bumiputera di Malaysia. Mereka berpendapat, DAP sepatutnya menghormati
perlembagaan dan keistimewaan kaum melayu dan bumiputera dalam perlembagaaan
Malaysia. Penentangan DAP dalam beberapa isu nasional juga tidak disenangi oleh
ramai pihak. Akibat beberapa isu nasional, kerjasama DAP dan parti gabungan
meraka dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS juga hancur. Dasar PAS yang meletakkan
asas Islam sebagai asas parti serta Hukum Hudud sebagai keutamaan tidak
dipersetujui oleh DAP. Walaupun di dalam parti yang kononnya pelbagai kaum ini
terdapat kaum melayu, namun suara mereka seolah – olah hilang ditenggelami
disebalik suara kaum Cina. Pada Mei 2012, Naib Pengerusi DAP yang merupakan
wakil melayu dalam DAP iaitu Tunku Abdul Aziz telah keluar dari DAP. DAP bukan
sahaja terpalit dengan isu perletakan jawatan dari kaum melayu tetapi terdapat
juga isu perletakan jawatan dari kaum cina dalam DAP.
Parti
DAP juga tidak dapat lari daripada pelbagai isu politik yang dimainkan. Isu –
isu yang berkisar dalam parti DAP adalah seperti dituduh sebagai parti politik
keluarga, krisis pemecatan ahli parti yang tidak berpuas hati dengan pimpinan
atasan dan juga satu parti yang dilihat begitu keras menentang hak bumiputera.
Didalam Pakatan Rakyat sendiri, DAP dilihat seolah – olah menjadi ketua dalam
pakatan yang mana sikap keras pemimpin DAP dan kemenangan kerusi yang banyak
dalam pilihanraya menjadi faktor kepada perkara tersebut. Walaupun dihimpit
dengan pelbagai isu, kaum Cina dilihat lebih cenderung menyokong parti DAP dan
mereka yakin dengan perjuangan DAP berbanding parti kaum Cina yang pro
kerajaan. Secara umumnya, DAP boleh menjadi parti kesukaan kaum Cina tetapi
untuk membentuk kerajaan DAP juga memerlukan sokongan kaum – kaum lain di
Malaysia. Oleh itu, hubungan bersama adalah penting untuk merealisasikan
perkara tersebut. Selain itu, DAP juga perlu mengambil kira tentang kepentingan
dan hak – hak kaum Bumiputera jika ingin medapatkan sokongan yang kuat daripada
kaum Bumiputera.
III.
PAS (PARTI ISLAM SE-MALAYSIA)
PAS
merupakan salah satu parti politik yang begitu berpengaruh di Malaysia. Bermula
dengan pengharaman kumpulan Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh British pada
tahun 1948, parti yang dahulunya dikenali dengan berbagai nama ini akhirnya
ditubuhkan pada 4 November 1951. Parti yang meletakkan dasar islam sebagai
wadah perjuangannya ini mengorak langkah dan mendaki sedikit demi sedikit untuk
mecapai kejayaan. Pada pilihanraya 1955 sebelum merdeka, pas berjaya
memperolehi kemenangan 1 kerusi. PAS terus mengorak langkah pada pilihan raya
selepas itu dengan beberapa kejayaaan yang boleh dibanggakan. Selepas terjadi
tragedi 13 Mei 1969, PAS menerima pelawaan UMNO untuk bersatu di bawah BARISAN
NASIONAL. Namun kerjasama PAS dan UMNO
dalam BARISAN NASIONAL akhirnya terkubur selepas krisis darurat di Kelantan
pada tahun 1978 yang mana PAS menuduh UMNO telah mengkianati mereka. Akhirnya
PAS keluar dari Barisan Nasional dan bergerak secara berseorangan.
Kesan
penggabungan dan perpecahan ini amat perit buat PAS. PAS terpaksa membina
kembali parti dan membaiki segala kelemahan yang ada. PAS juga mengalami
perpecahan dalaman sehingga terbentuknya serpihan dari parti PAS iaitu Parti
BERJASA dan Hamim. PAS telah mengambil masa yang begitu lama untuk bangkit
kembali dan akhirnya PAS berjaya bangkit dibawah Tuan Guru Yusuf Rawa dan
meletakkan slogan kepimpinan ‘ulama’. Di bawah slogan kepimpinan ulama, PAS
terus utuh membina perjuangannya dan terus mencorakkan masa depan yang cerah.
Di bawah kepimpinan Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Nor dan Dato’ Seri Tuan Guru
Haji Abdul Hadi Awang PAS terus kuat dan terus memperjuangkan bangsa dan agama
di Malaysia. Suara – suara PAS dalam parlimen semakin lantang dan memberikan
impak yang kuat kepada keputusan yang dibuat oleh kerajaan pada ketika itu. Di
bawah pengaruh Ustaz Fadzil, PAS kembali berjaya menawan Kelantan pada tahun
1990 dan Terengganu pada tahun 1999. Turut menyumbang kekuatan dan keutuhan
parti PAS ialah pengaruh yang kuat tentang keperibadian Tuan Guru Dato’ Nik
Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan Mursyidul Am PAS yang paling disegani.
Kesempurnaan
PAS sebagai parti politik yang kuat dan disegani sedikit terjejas kerana PAS
dilihat hanya memperjuangkan Islam dan Melayu sahaja. PAS perlu bergabung dan
bekerjasama dengan parti lain yang pelbagai bangsa untuk menubuhkan kerajaan
jika pas memenangi kerusi yang banyak dalam pilihanraya umum di Malaysia. Hasrat
untuk merealisasikan penubuhan kerajaan ini semakin cerah apabila berlakunya
krisis pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan penubuhan reformasi pada tahun
1999. Akhirnya PAS dapat membentuk satu pakatan dengan parti yang mempunyai
semua kaum dan pelbagai pendapat iaitu BARISAN ALTERNATIF. Namun terdapat
kekurangan dalam penubuhan BARISAN ALTERNATIF kerana penubuhannya tidak
didaftarkan dan penubuhannya adalah sekadar untuk bekerjasama pada luaran
sahaja. Namun pada tahun 2008, kerjasama erat ini akhirnya dapat dibina dan
semakin direalisasikan dengan tertubuhnya PAKATAN RAKYAT. PAS dengan idea dan
ketegasannya yang tetap ingin menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan hukum
hudud tampak memberikan cabaran kepada parti sekutunya iaitu DAP. DAP yang
jelas dan terang mahukan Malaysia sebagai Negara Sekular dengan terang – terangan
menentang dan membangkang idea yang ingin dilaksanakan oleh PAS. Akhirnya,
kedua – dua pihak mengumumkan tidak lagi bekerjasama antara satu sama lain dan
menyebabkan berlaku perpecahan dalam PAKATAN RAKYAT. Keadaan perpecahan ini
juga menyebabkan sekutu mereka iaitu PKR terpaksa memilih dan akhirnya PKR
memilih untuk bekerjasama dengan DAP.
Perpecahan
dalaman juga merupakan faktor longgarnya kekuatan parti PAS. Selepas pemergian
Tuan Guru Mursyidul Am Dato Nik abdul Aziz Nik Mat, ahli – ahli PAS kelihatan
sedikit goyah dengan berlakunya puak dalam pas iaitu puak yang menyokong
kepimpinan ulama serta Presiden dan puak yang menyokong kepimpinan golongan
professional serta timbalan presiden. Akhirnya, perpecahan 2 golongan ini telah
diterjemahkan sendiri oleh ahli PAS pada pemilihan Muktamar Pas 2015 dengan
kemenangan yang banyak berpihak kepada golongan ulama. Kekalahan golongan
professional dalam PAS menyebabkan kekecewaan kepada beberapa pemimpin pas dan
akhirnya mereka keluar dari PAS dan membentuk parti baharu iaitu PARTI AMANAH
NEGARA (PAN) yang diketuai oleh Mohammad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat
Sabu. Perpecahan dalaman ini tampak memberi sedikit kesan kepada PAS dan pas
perlu membuktikan bahawa PAS masih relevan dan mampu memberikan kepimpinan yang
mantap dan jitu dalam usaha untuk menguasai arena politik Malaysia.
Kepelbagaian parti
politik memberikan banyak pilihan dan kuasa memilih untuk masyarakat di
Malaysia namun disebalik pilihan parti politik yang ada ini juga boleh
menyebabkan berlakunya perpecahan dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Pimpinan – pimpinan tertinggi setiap parti politik perlu mengambil langkah yang
betul dan terbaik dalam menangani krisis – krisis yang berlaku supaya tidak terjadi perpecahan dalam masyarakat
Malaysia. Setiap parti politik perlu mengamalkan cara berpolitik yang sihat dan
tidak perlu mengeluarkan provokasi secara melampau. Setiap ahli dalam parti
politik perlu faham bahawa walaupun
mewakili dan menjadi ahli parti, hidup bermasyarakat, pergaulan dan
kemesraan sebagai rakyat Malaysia juga perlu diteruskan. Keghairahan berpolitik
sesetengah ahli parti juga kadangkala menyentuh isu sensitviti sesuatu kaum di
Malaysia. Isu –isu sensitf yang melibatkan bangsa dan agama sesuatu kaum di
Malaysia ini perlu dielakkan dan tidak perlu diganggu gugat kerana jika perkara
ini disentuh ianya akan menyebabkan berlakunya ketegangan dan akan meninggalkan
luka dan menyebabkan barah yang semakin lama semakin membesar. Memperjuangkan
parti tidak perlu sampai menghina dan mencaci bangsa dan agama lain.
Memperjuangkan parti cukup untuk menyatakan setiap perjuangan yang dicanang
adalah untuk kepentingan dan kemajuan Negara kita.
Setiap parti
politik juga mempunyai cara yang tersendiri dalam menyatakan isi perjuangan
parti. Rakyat marhaen sekarang ini sudah pandai menilai kebaikan sesebuah parti
politik dan pilihan yang ada kebanyakannya pada rakyat marhaen bukan pada
setiap ahli politik. Menjadi rakyat tidak semestinya perlu menjadi ahli
sesebuah parti politik. Penilaian rakyat pada ketika ini adalah melihat sebuah
parti politik yang memperjuangkan semua hak rakyat Malaysia tidak kira dari
bangsa apa pun. Rakyat juga menilai bagaimana sesebuah organisasi parti politik
mampu memberikan khidmat yang terbaik dan mampu menangani anasir luar yang
menjalar di dalam kehidupan dan pemikiran rakyat Malaysia. Pada masa ini, kita
sedang membina satu bangsa iaitu bangsa Malaysia dengan kepelbagaian agama yang
dianuti bukannya membina kepelbagaian kaum dengan kepelbagaian agama. Konsep
membina kaum perlu dicantas dan dibuang dalam pemikiran rakyat Malaysia. Untuk
kemajuan Negara tercinta ini kita perlu membina satu bangsa sahaja dengan
kepelbagaian agama yang dianuti dan bangsa Malaysia ini perlu menghormati
setiap agama yang mereka anuti.
Oleh sebab itu,
setiap parti politik perlu merenung dan bermuhasabah kembali tentang asal usul
penubuhan dan perjuangan yang dicanang semasa mula – mula menubuhkan organisasi
ini. Wadah perjuangan dan kepentingan rakyat perlu didahulukan dan diutamakan
bukannya mengutamakan kepentingan diri dan individu semata – mata. Menjadi ahli
politik dan memegang kuasa memang hebat tetapi perlu diingat bahawa pilihan
adalah ditangan rakyat marhaen yang sentiasa menilai gerak kerja setiap ahli
politik dan parti politik. Selain dinilai di atas dunia yang fana ini, mereka
juga perlu ingat bahawa Tuhan juga sentiasa menilai dan memerhatikan mereka.
Ramai rakyat berharap setiap ahli dan parti politik perlu kembali kepada wadah
berjuangan yang asal yang membela rakyat dan memacu Negara ke arah pembangunan
dan merealisasikan wawasan Negara yang maju bukannya berperang sesama sendiri,
mengata dan mengadu domba sehinggakan rakyat tidak tahu lagi ke mana arah tuju
Negara sebenarnya.
Rakyat Malaysia
memerlukan pemimpin yang betul – betul memperjuangkan nasib dan membela rakyat.
Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin yang betul – betul membawa Negara ke arah
kemajuan dan kesejahteraan. Kami sebagai rakyat tidak mahu lagi melihat
pertelagahan yang sia – sia diantara pemimpin dan apa yang kami mahu adalah
para pemimpin yang mampu bertoleransi, bertanggungjawab, adil, mementingkan
rakyat, membela nasib rakyat dan mampu membawa pembagunan dan menyediakan
segala kemudahan kepada rakyat. Kami sebagai rakyat sudah jemu dan bosan
melihat pertelagahan ini. Dalam keadaan ekonomi dan tekanan hidup yang semakin
lama semakin teruk, kami berharap setiap pemimpin dan setiap parti politik
dapat menyelami kembali hasrat dan impian rakyat Malaysia yang berbilang agama
ini.
Bersambung:
Kesangsian hidup bermasyarakat…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan