Selasa, 2 Ogos 2016

KEPERITAN YANG TIDAK DIJANGKAKAN

KEPERITAN YANG TIDAK DIJANGKAKAN


Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah yang Maha Esa kerana masih lagi bernafas dan merasai nikmat hidup di atas dunia yang penuh pelbagai cabaran dan dugaan. Mengharungi hari – hari pada tahun 2016 sedikit memeritkan dan memerlukan hati nurani yang tabah. Menganjak ke bulan Jun 2016 dan ketika menghampiri bulan puasa iaitu bulan Ramadhan, perkiraan perbelanjaan menjadi fikiran dan hati semakin kusut. Penjimatan demi penjimatan dilakukan selepas perlaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan GST dilaksanakan. Namun ianya masih lagi belum mencapai 100% sasaran penjimatan yang dibuat kerana terpaksa menyerap kenaikan harga barangan yang boleh dikatakan semua barangan naik harganya.

Terlalu pening dan penat memikirkan cabaran hari yang mendatang. Episod kenaikan harga barangan bermula selepas perlaksanaan GST pada 1 April 2015. Teringat kata – kata seorang bekas Timbalan Menteri Kewangan (pada masa GST dilaksanakan) yang begitu yakin harga barangan tidak naik. Pada masa itu sokongan yang begitu tinggi pada Barisan Nasional (sekarang masih lagi Barisan Nasional) tanpa berbelah bagi menyatakan sokongan dan mengiyakan kata – kata tersebut walaupun sebilangan rakyat memandang sinis kata – kata tersebut. Namun keyakinan terhadap tiada kenaikan harga barangan akhirnya luntur. Bukan setakat barangan kegunaan harian yang terkesan dengan GST syarikat – syarikat, restoran – restoran dan kedai – kedai perkhidmatan pun turut terkesan dengan GST ini.

Dahulu subsidi diberikan kepada rakyat Malaysia namun selepas subsidi ditarik balik Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM) pula menjelma dan ianya tidak banyak membantu seperti bantuan subsidi dahulu. Memang secara lahiriahnya BRIM diberikan berupa bentuk duit namun bagi kami rakyat marhaen, subsidi lebih banyak membantu berbanding duit yang diberikan kerana tidak sampai satu hari duit itu habis dibelanjakan. Kami sebagai rakyat tidak mampu menghalang dan mengubah apa – apa dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan. Sakitnya begitu perit untuk mengharungi hidup yang serba serbi mahal pada waktu ini. kami sebagai rakyat dipertengahan dan bawahan ini betul – betul memerlukan bantuan kerajaan dan berharap pimpinan kerajaan memahami keadaan dan tekanan yang dihadapi kini.

Dengan ekonomi Malaysia yang tidak menentu ini, hidup sebagai rakyat marhaen semakin tertekan. Kami bukan rakyat marhaen seperti Dato Vida mahu pun Dato Aliff Shukri tapi kami adalah rakyat marhaen yang hidup berkerja dengan majikan dan kalau ada yang berniaga pun sekadar cukup untuk menyara kehidupan harian sahaja. Kami bukan berharap menjadi seperti Dato vida dan Dato Alif Shukri tapi kami berharap hidup kami dalam keadaan tenang dan tidak terjerut dengan kegawatan dan keadaan ekonomi yang semakin tidak menentu ini. Dengan keadaan dunia yang tiada sempadan ini, bukan kami tidak mengetahui apa yang berlaku dalam kerajaan, kami tahu semuanya dan kami tidak kisah dengan perkara – perkara yang berlaku kerana kami yakin kerajaan sekarang dapat menyelesaikannya cuma kami sebagai rakyat tidak mahu dan tidak mampu menanggung beban yang kerajaan hadapi.

Isu – isu yang berlaku adalah hak kerajaan untuk menyelesaikannya dan jika ingin meminta rakyat menolong kerajaan, kerajaan perlu jujur dengan rakyat marhaen. Kami rakyat marhaen tidak akan berkira untuk membantu kerajaan tetapi jangan bantuan yang diberikan sampai menjerut leher kami sehingga tidak bernafas. Terima kasih pada kerajaan yang memberikan BRIM tetapi bantuan subsidi juga perlu diberikan. Setiap sen yang kami keluarkan untuk cukai dan GST yang dibuat terasa seperti membunuh jantung kami. Kami berharap berlakunya pengurangan cukai yang telah ditetapkan. Kami cuba hidup berdikari tanpa bantuan kerajaan yang disediakan. Bagi kami kerajaan adalah milik rakyat dan rakyat yang menentukan kerajaan mana yang akan terbentuk. Kami berharap kerajaan memahami penderitaan rakyat marhaen ini dan menyusuri arus akar umbi dan rakyat untuk melihat jerih – perih kehidupan rakyat marhaen yang berada di golongan pertengahan dan bawahan ini.

Kami sebagai rakyat marhaen juga menyambut seruan kerajaan untuk menjadi usahawan, berniaga dan cuba membangunkan ekonomi Negara. Namun tekanan dari sudut lain pula menghantui kami. Modal, tapak perniagaan, lesen perniagaaan dan sebagainya perlu ada jika ingin menjadi usahawan. Kami boleh berniaga dan menjaja secara kecil – kecilan tapi jika tidak kena gayanya perniagaan kami akan dirampas dan dihalau oleh pihak berkuasa. Untuk menyewa kedai dan mendapatkan lesen pula, kami terpaksa mengeluarkan modal yang banyak dan terlalu banyak karenah birokrasi yang perlu dihadapi. Jika ingin membuat pinjaman pula, syarat yang dikenakan terlalu ketat dan interest yang dikenakan terlalu tinggi. Kami hanya berharap dan terus berharap untuk hidup di Malaysia ini tanpa menghadapi masalah dan hidup dalam keadaan yang tenang dan aman damai.

Kami betul – betul berharap kerajaan yang memegang tampuk kuasa dan pemerintahan sekarang ini memahami dan membantu rakyat. Kami berharap kerajaan yang ada sekarang ini memberikan sedikit pengurangan untuk cukai dan memberikan kembali subsidi untuk rakyat. Perdana Menteri perlu juga faham bahawa rakyat ini tidak pernah berpeluk tubuh dan sentiasa berusaha untuk membantu kerajaan. Kami sayangkan Malaysia yang aman damai dan sentiasa hidup dalam keharmonian.






RAKYAT MARHAEN.

MALAYSIA, DIMANAKAH KITA?

MALAYSIA, DIMANAKAH KITA?

Pergolakan dalaman parti politik, kesangsian hidup bermasyarakat dan keghairahan ekstremisme serta kejatuhan ekonomi global muncul dalam negara yang dulunya menjadi simbol kepada pembangunan ekonomi, keamanan dan contoh negara yang masyarakatnya adalah majmuk berbilang bangsa dan agama. Malaysia, Dimanakah kita? Isu - isu utama yang bertebaran banyak melukakan hati masyarakat dan menyebabkan kita makin jauh antara satu sama lain. Mungkin bagi sesetengah pihak isu - isu yang terpalit ini dapat menyatukan dan menguatkan masyarakat tetapi jauh di sudut hati dan pandangan, ianya adalah barah yang semakin merebak dan berkembang. Secara zahirnya memang kita bersatu tetapi secara batinnya kita terluka.

Kekuatan politik merupakan tunjang kepada negara yang berpegang kepada Demokrasi Berparlimen. Malaysia merupakan negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen Dan Raja Berperlembagaan.  Parti politik yang berpengaruh dan kuat akan memenangi pilihan raya seterusnya memegang tampuk pemerintahan negara. Pilihan raya umum yang ke 13 pada 2013 menyaksikan Barisan Nasional yang parti utamanya adalah UMNO, MCA dan MIC berjaya sekali lagi memerintah negara dengan menewaskan parti pembangkang iaitu Pakatan Rakyat (dahulunya dikenali sebagai Barisan Alternatif) PAS, KEADILAN dan DAP. Namun kemenangan yang diperolehi seperti yang sudah dijangkakan iaitu dengan sedikit kelebihan sahaja pada Barisan Nasional dan itu pun telah dipertikaikan oleh pihak pembangkang melalui tafsiran undi popular. Tetapi bagi negara yang berpegang kepada Demokrasi Berparlimen, Parti Barisan Nasional tetap merupakan pemerintah utama Negara Malaysia. 

PERGOLAKAN DALAMAN PARTI POLITIK.

Umum mengetahui, parti - parti politik di Malaysia dari dahulu lagi senantiasa mengalami pergolakan dalaman dan luaran. Tetapi, dewasa ini, pergolakan dalaman dan luaran parti - parti politik ini semakin kuat dan tegang berbanding waktu terdahulu. Bahkan bukan satu parti politik yang bergolak tetapi boleh dikatakan kesemua parti politik ini yang bergolak. Pergolakan yang berlaku ini bukan sahaja merugikan rakyat bahkan turut merugikan negara. Secara amnya, negara yang berlakunya pergolakan politik ini tidak akan bertahan lama dan semakin lama semakin jatuh. Pergolakan yang berlaku bukan sahaja memutuskan silatulrahim antara parti politik tetapi turut memutuskan silatulrahim ahli di dalam parti tersebut. Dan jika pergolakan ini tidak dipandang serius, ianya boleh menyebabkan negara tergadai dan rakyat menjadi mangsa kenaifan parti politik ini. Di sini, diterangkan satu persatu pergolakan yang berlaku dalam setiap parti politik yang secara tidak langsung rakyat mengetahui dan sedang mengikuti perkembangannya.

1.          BARISAN NASIONAL (KERAJAAN)

Ditunjangi oleh 13 parti komponen yang utama iaitu UMNO, MCA, MIC, PBB, SUPP, GERAKAN, MYPPP, LDP, PBRS, UPKO, PBS, SPDP, dan PRS. Merupakan parti yang memimpin Negara pada ketika ini dan diketuai oleh parti tunjang orang melayu iaitu UMNO. Dahulunya dikenali sebagai PARTI PERIKATAN namun ditukarkan kepada PARTI BARISAN NASIONAL yang mana matlamatnya lebih kuat dan kukuh dengan penyertaan semua parti politik yang terdiri dari pelbagai kaum di Negara ini. Pada dasarnya PARTI BARISAN NASIONAL ini adalah lebih realistik dan bermatlamat dari parti pembangkang yang lain. Namun sejak dihimpat dengan pelbagai isu berkaitan Negara dan isu – isu besar yang lain, ianya kelihatan sebagai parti yang semakin suram lebih – lebih lagi hanya UMNO yang nampak kesungguhannya berbanding parti komponen yang lain dan ini menunjukkan bahawa BARISAN NASIONAL hanya diterajui oleh bumiputera melayu (UMNO) sahaja sedangkan BARISAN NASIONAL ini merupakan parti yang diwakili oleh pelbagai kaum di Malaysia.


      I.         UMNO

UMNO merupakan parti komponen utama di dalam BARISAN NASIONAL. Diterajui oleh kaum melayu sejak penubuhannya (11 Mei 1946) sehingga sekarang. Walaupun terpalit dengan pelbagai isu dari awal penubuhan sehingga tertubuhnya UMNO baru ( UMNO telah didaftarkan kembali pada tahun 1988) namun ianya dapat dikawal dengan baik sekali. Pada masa itu juga, UMNO semakin relevan dan dalam keadaan yang begitu baik dengan pimpinan yang begitu mantap serta presiden yang berkaliber memacu Negara ke arah Malaysia yang lebih maju dan membangun. Sangkaan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari akhirnya berlaku selepas Tun Dr Mahathir Bin Mohamed melepaskan jawatan Sebagai Presiden Parti dan seterusnya melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat pada 31 Oktober 2003.

Selepas Tun Dr Mahathir Mohamed melepaskan tampuk pemerintahan Negara sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003, maka selepas itu bermula era krisis dalaman yang begitu ketara yang melanda UMNO dengan terpalitnya pelbagai isu besar.  Bermula dengan era Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi (31 Oktober 2003 -3 April 2009), Tun Abdullah ditekan supaya meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti seterusnya melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu. Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi dikatakan gagal memacu ekonomi Malaysia pada kedudukan yang sepatutnya. Campur tangan Tun Dr Mahathir dan campur tangan pimpinan tertinggi UMNO serta keadaan parti pembangkang yang kuat dan terurus pada masa itu, akhirnya Tun Abdullah terpaksa mengalah dan mengadakan pelan peralihan kuasa  dengan melantik Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai pengganti. Namun isu ini dilihat lebih ke arah isu nasional dan bukannya masalah dalaman yang meruncing kerana pada masa itu kelibat Dato’ Seri Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri kelihatan lebih menonjol dan kuat.
Pada era perdana menteri yang keenam iaitu Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak ( 3 April 2009 – sekarang) beliau juga tidak dapat lari dari pelbagai isu yang dimainkan oleh pelbagai pihak. Pada peringkat permulaan, Dato’ Seri Najib dilihat individu yang paling layak menduduki kerusi tertinggi kerajaan selepas Tun Dr Mahathir melepaskan jawatan lagi. Namun adat dalam parti, siapa yang menduduki kerusi timbalan presiden akan terus menggantikan presiden seterusnya menjadi perdana menteri. Tuah dan rezeki memihak kepada Dato’ Seri Najib akhirnya dan beliau merupakan orang yang paling layak meduduki kerusi nombor satu Kerajaan Malaysia. Pada permulaan era pemerintahan beliau, keyakinan rakyat dan matlamat menjadi semakin jelas dan wawasan yang diimpikan menjadi semakin dekat namun ianya tidak semudah membina rumah yang sudah bertiang. Isu – isu seperti kes pembunuhan Altantuya, 1MDB, BRIM, campur tangan isteri dan derma menjadi hangat umpama luka yang kecil membengkak dan bernanah.

Isu isu ini terus hangat diperkatakan oleh rakyat lebih – lebih lagi setelah serangan demi serangan yang dilakukan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir. Selain itu, serangan yang diterima dari dalam UMNO sendiri juga menyebabkan isu ini tidak pernah surut dan semakin membara. Percubaan untuk memaksa Dato’ Seri Najib untuk meletakkan jawatan akhirnya tercapai namun ianya tidak semudah yang dijangkakan. Sebelum tindakan pihak lawan di ambil, Dato’ Seri Najib terlebih dahulu mematahkan serangan tersebut bak kata pepatah menyerang dahulu lebih baik dari bertahan. Akhirnya Tan Sri Muhyidin iaitu Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno serta Dato’ Seri Shafie Menteri dan Naib Presiden Umno akhirnya dipecat dalam rombakan kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib. Dato’ Seri Najib menunjukkan bahawa beliau bukan sembarangan pemimpin yang boleh diolah mengikut acuan yang ditetapkan oleh pihak lain. Beliau mempunyai acuan tersendiri yang akan memimpin Malaysia menuju kejayaan.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2015, beliau dengan tegasnya memberitahu bahawa beliau akan terus memimpin parti dan Negara dan sedikit pun tidak tergugat dengan semua yang berlaku. Ketegasan beliau disampaikan dan ditunjukkan oleh semua pemimpin bahagian dan cawangan yang mana pimpinan bahagaian dan cawangan menyampaikan setiap amanat yang telah disampaikan oleh Presiden Parti. Beliau juga menjawab segala tuduhan yang telah berlaku di dalam parti dan juga kepada rakyat. Kegusaran dan kebimbangan ahli parti akhirnya reda dengan keyakinan dan matlamat yang telah disampaikan. Namun terdapat segolongan kecil yang masih belum dapat menerima kenyataan ini dan terus menyerang Presiden Parti. Tindakan tegas telah diambil oleh presiden dengan merujuk beberapa individu ke bahagian disiplin parti dan ianya menunjukkan presiden parti tidak akan berdiam diri.

Keadaan ini merupakan satu bonus kepada Dato’ Seri Najib kerana beliau menunjukkan yang bahawa beliau seorang pemimpin yang berani, tegas, dan berwibawa. Sedikit sebanyak ianya dapat menghasilkan kembali keyakinan ahli parti dan keyakinan rakyat kepada beliau. Isu isu yang terpalit juga sedikit sebanyak semakin reda dan beliau secara berani menjawab segala isu besar yang diputarkan oleh pihak pembangkang dan juga ahli parti yang tidak berpuas hati. Beliau juga menyatakan bahawa UMNO dibawah pimpinan Beliau akan terus relevan dan terus menunjangi rakyat dan Negara. Pru ke 14 nanti merupakan medan terbaik bagi UMNO dan pimpinannya menunjukkan bahawa hanya UMNO yang akan terus membawa wadah perjuangan, kemajuan dan memimpin parti komponen dalam BARISAN NASIONAL membawa negara kembali ke landasan yang betul.

     II.         MCA DAN GERAKAN

MCA dan GERAKAN merupakan parti yang mewakili kaum Cina dalam komponen BARISAN NASIONAL. MCA diasaskan pada 27 Februari 1949 dan merupakan parti yang mewakili kaum cina sebelum merdeka lagi. MCA merupakan parti yang bersama – sama dengan UMNO dan MIC semasa proses menuntut kemerdekaan Negara Malaysia pada tahun 1957. Parti GERAKAN diasaskan pada 24 Mac 1968 dan merupakan parti serpihan daripada MCA selepas berlakunya perpecahan dalaman MCA. Pada permulaan penubuhannya parti GERAKAN ini mewakili semua kaum di Malaysia, namun ianya dilihat mewakili kaum Cina kerana penyertaan lebih besar dari kaum Cina iaitu lebih dari 80%. Pada Pilihanraya Umum 2008, kedua – dua parti terbesar kaum Cina dalam BARISAN NASIONAL ini mengalami episod paling buruk dengan rekod kekalahan yang begitu besar. GERAKAN juga telah kehilangan Negeri Pulau Pinang (sehingga sekarang) dan jatuh ke tangan DAP. Pada Pilihanraya Umum 2008 MCA memenangi 15 kerusi dan GERAKAN 2 kerusi sahaja. Pada Pilihanraya Umum 2008 juga timbul isu yang dikatakan sebagai Tsunami Politik di Malaysia dan kesannya amat ketara.

Pada Pilihanraya Umum 2013, kedua – dua parti ini cuba untuk memperbaiki kedudukan dan menarik kembali pengundi kaum Cina menyokong mereka namun sebaliknya telah berlaku dengan sekali lagi pada Pilihanraya Umum 2013 kedua – dua parti ini mengalami kekalahan teruk dengan MCA mendapat 7 kerusi dan GERAKAN mendapat 1 kerusi. Penolakan oleh kaum Cina terhadap parti pro kerajaan ini harus dipandang serius dan dibuat kajian secara mendalam. Kedua – dua parti ini perlu mengurangkan pergeseran dalaman dan memperbaiki kembali struktur yang ada. Parti yang mewakili kaum Cina ini perlu membuktikan bahawa mereka di dalam BARISAN NASIONAL bukan sekadar melepaskan batuk ditangga, bukan sekadar berada di tepian tetapi mereka adalah parti yang akan memperjuangkan nasib dan hak kaum cina pada kerajaan di Malaysia. Mereka perlu membuktikan bahawa hanya mereka yang mampu menconggak masa depan kaum Cina di Malaysia.

   III.         MIC

MIC diasaskan pada Ogos 1946 dan merupakan parti yang mewakili kaum India di Malaysia. Parti terbesar kaum India ini banyak memberikan sokongan kepada Parti BARISAN NASIONAL. Namun MIC telah mengalami nasib yang sama seperti MCA dan GERAKAN pada tahun 2008 dengan kekalahan yang begitu besar. MIC tewas kepada DAP dan PKR di kebanyakan kawasan yang ditandingi. Pemimpin utama mereka iaitu Dato’ Seri Sammy Vellu juga turut tertewas di Sungai Siput. Selepas dihimpit dengan kekalahan yang teruk dalam pilihanraya umum 2008, MIC juga turut mengalami masalah dalaman yang teruk. Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi yang kucar – kacir, menjatuhkan pemimpin sedia ada, perebutan kuasa dan sikap tidak menghormati antara pemimpin menyebabkan MIC berada dalam tekanan. Hal ini juga turut berkait dengan perletakan jawatan Dato’ Seri Sammy Vellu yang merupakan liabiliti dan merupakan tokoh yang agung dalam MIC dan BARISAN NASIONAL.

Namun begitu, campur tangan Dato’ Seri Najib sebagai Pengerusi BARISAN NASIONAL tampaknya memberi kesan yang begitu baik. Sebagai Pengerusi BARISAN NASIONAL, Dato’ Seri Najib memainkan peranannya tersendiri dengan menyediakan kemudahan – kemudahan yang diperlukan oleh kaum India di Malaysia. Campur tangan ini menyebabkan kepimpinan MIC sedikit tenggelam dan dibayangi dengan kebaikan Pengerusi BARISAN NASIONAL ini. Bagi masyarakat India, ianya lebih baik berbanding pimpinan MIC sendiri kerana masyarakat India boleh terus mengemukakan masalah yang ada kepada Pengerusi BARISAN NASIONAL. Walaupun dihimpat dengan pelbagai masalah dan campur tangan Pengerusi BARISAN NASIONAL sendiri, MIC dilihat masih lagi relevan untuk kaum India di Malaysia dan mampu membawa kaum India ke hadapan dan ke arah kemajuan.

  IV.         PBB & SUPP

PBB dan SUPP merupakan parti komponen terbesar BARISAN NASIONAL di Sarawak dan banyak memberikan sumbangan dan kemenangan kepada BARISAN NASIONAL. Keutuhan kedua – dua parti ini membawa kemajuan serta perpaduan rakyat Sarawak. PBB dan SUPP merupakan contoh parti terbaik buat masa sekarang cumanya perlu penyampaian yang baik supaya masyarakat di Sarawak dapat bersatu dengan lebih erat lagi dengan masyarakat di semenanjung. Kedua – dua parti ini memberikan sumbangan yang besar dalam kemenangan BARISAN NASIONAL pada Pilihanraya Negeri 2016.

    V.         PBS & PBRS.

Seperti juga PBB dan SUPP di Sarawak, PBS dan PBRS merupakan parti komponen terbesar BARISAN NASIONAL di Sabah dan banyak memberikan sumbangan dan kemenangan kepada BARISAN NASIONAL. Keutuhan kedua – dua parti ini membawa kemajuan serta perpaduan rakyat Sabah. PBS dan PBRS merupakan parti terbaik buat masa sekarang di Sabah cumanya perlu ada penyampaian yang baik supaya masyarakat di Sabah dapat bersatu dengan lebih erat lagi dengan masyarakat di semenanjung. Kepentingan kerjasama antara  kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan amat penting supaya masyarakat Malaysia yang dibina pada hari ini merangkumi semua aspek sebagai masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama ini.

  VI.         PARTI KOMPONEN LAIN (SPDP, PRS, UPKO, LDP, MYPPP)

Parti komponen seperti SPDP, PRS, UPKO, LDP dan MYPPP walaupun dilihat sebagai parti komponen yang kecil dalam BARISAN NASIONAL namun peranan parti – parti ini tidak boleh dipandang sebelah mata. Parti – parti ini sentiasa bersama menggerakkan BARISAN NASIONAL ke hadapan. Namun, disebalik keutuhan parti – parti ini, kesemuanya perlu bersatu untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat supaya rakyat tahu bahawa parti politik yang membela nasib mereka.


2.          PAKATAN RAKYAT (PEMBANGKANG)
Pakatan Rakyat merupakan gabungan pakatan yang terdiri daripada parti politik PAS, DAP dan PKR dan ditubuhkan pada 1 April 2008 selepas mesyuarat yang dilangsungkan oleh tiga parti tersebut. Sebelum dikenali sebagai Pakatan Rakyat, gabungan ini dikenali sebagai Barisan Alternatif. Gabungan Pakatan Rakyat ini telah menafikan majoriti BARISAN NASIONAL dalam parlimen pada 2 pilihanraya umum yang telah belangsung iaitu Pilihanraya Umum 2008 dan Pilihanraya Umum 2013. Kekuatan Pakatan Rakyat ini dilihat mampu untuk mencabar kekuatan Barisan Nasional seterusnya membentuk kerajaan pada masa hadapan. Namun, harapan yang diimpikan seakan kabur apabila isu demi isu melanda Pakatan Rakyat. Isu – isu seperti Hukum Hudud, penggunaan kalimah Allah, demokrasi, kesaksamaan kaum, pembahagian kawasan dan pergolakan dalaman mula melanda Pakatan Rakyat. Akhirnya Pakatan Rakyat lebur pada 16 Jun 2015 yang diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guang Eng yang menyatakan bahawa tiada lagi kerjasama antara parti – parti dalam Pakatan Rakyat. Isu – isu dalaman parti - parti dalam Pakatan Rakyat turut melingkari dan menjadi barah yang semakin membesar dalam Pakatan Rakyat.


      I.         PKR (PARTI KEADILAN RAKYAT)

PKR (PARTI KEADILAN RAKYAT) ditubuhkan pada 4 April 1999 dan bermula selepas pemecatan Dato’ Seri Anwar daripada kabinet dan seterusnya pemecatan daripada UMNO akibat tuduhan rasuah dan kes liwat yang dilakukan. Para penyokong Dato’ Seri Anwar melaungkan slogan REFORMASI yang mana mereka mempertahankan Dato’ Seri Anwar dan mengatakan Dato’ Seri Anwar tidak bersalah. Namun proses penghakiman yang berlaku telah menjatuhkan hukuman kepada Dato’ Seri Anwar walaupun terdapat banyak keraguan yang berlaku. Para penyokong dan NGO yang mempertahankan Dato’ Seri Anwar akhirnya menubuhkan satu parti bagi meneruskan wadah perjuangan mereka.

Selain daripada mempertahan Dato’ Seri Anwar, perjuangan mereka juga berkisar kepada menentang segala korupsi yang ada dan memperjuangkan hak dan demokrasi rakyat. Pada tahun 2004, mahkamah telah mengugurkan sabitan kesalahan Dato’ Seri Anwar dan beliau akhirnya dibebaskan dan dilantik sebagai Penasihat PKR. Tetapi sabitan kesalahan Dato’ Seri Anwar sentiasa berterusan walaupun setelah dilantik sebagai Ketua Pembangkang Malaysia namun kekuatan orang – orang kanan dalam PKR telah berjaya menjadikan PKR parti yang kuat dan bermatlamat. Pada pilihanraya umum 2008, PKR membuktikan kekuatan mereka dengan memenangi beberapa kawasan pilihanraya dan gabungan bersama PAS dan DAP menafikan 2/3 majoriti BARISAN NASIONAL dalam parlimen.

PKR dapat membuktikan bahawa mereka merupakan pembela rakyat dalam keadaan struktur politik di Malaysia yang sedikit panas pada masa itu. Kemenangan ini merupakan satu inspirasi terbaik untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai. Pada pilihanraya umum 2013, PKR sekali lagi membuktikan mereka masih relevan untuk memperjuangkan hak rakyat dan turut menafikan majoriti 2/3 BARISAN NASIONAL. Namun, keadaan yang tenang dengan kemenangan yang dicanang tidak sebaik yang disangka, akhirnya berlaku beberapa pergolakan dalam PKR yang mana perebutan kuasa menjadi keutamaan. Beberapa pergaduhan di beberapa kawasan semasa pemilihan dan mesyuarat agung turut menjadi perhatian. Namun semua yang berlaku disangkal oleh PKR dan menuduh ianya adalah propaganda yang dimainkan oleh media pro kerajaan.

Namun akhirnya isu – isu besar menyelubungi PKR, bermula isu Kalimah Allah, isu Langkah Kajang, pemecatan Menteri Besar Selangor (Dato’ Seri Khalid Ibrahim) dan isu tiada kesepakatan antara adun dalam Pakatan Rakyat dan isu yang terbaru ialah tiada kesepakatan dalam meletakkan calon dalam Pilihanraya Negeri Sarawak yang telah diadakan baru – baru ini. Walaupun isu – isu ini lebih dilihat sebagai tiada kesepakatan dalam Pakatan Rakyat namun ianya sedikit sebanyak menjejaskan parti yang mana PKR dilihat sebagai kepala dalam Pakatan Rakyat. PKR juga dilihat tidak dapat membantu dan menyelesaikan pertelagahan antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Sebagai parti yang menerajui komponen dalam Pakatan Rakyat, PKR sedikit lemah sebagai ketua dalam pakatan.

Dato’ Seri Anwar sekali lagi disabitkan kesalahan meliwat dan hal ini juga menyebabkan kepimpinan PKR sedikit terjejas. Hukuman penjara selama 5 tahun telah dikenakan kepada penasihat PKR. Sekali lagi PKR terpaksa meneruskan perjuangan tanpa  Dato’ Seri Anwar dan keadaan ini menyebabkan PKR dalam keadaan tertekan. Walaupun dalam tekanan tanpa pemimpin nombor satu  PKR, Majlis Tertinggi tetap berusaha menjadikan PKR tetap relevan dan menepati aspirasi rakyat Malaysia. Untuk mengekalkan momentum pada aras yang betul, PKR perlu memperbetulkan dan menyelesaikan beberapa isu yang melingkari mereka.



     II.         DAP (PARTI TINDAKAN DEMOKRATIK)

DAP merupakan parti yang begitu sinonim dengan kaum Cina. Walaupun diwakili oleh ahli yang pelbagai kaum, namun majoriti ahlinya adalah kaum Cina. Dasar parti DAP sendiri yang melaungkan slogan  Malaysian Malaysia (Malaysia untuk rakyat Malaysia) telah menarik perhatian kaum Cina untuk menyertai parti ini. Selain itu, dasar keterbukaan, sekular dan sosialisme demokratik turut menjadi perhatian. Parti yang begitu dominan dan merupakan seteru utama UMNO ini banyak mempersoalkan dan menyatakan ketidakpuasan kepada kerajaan dalam pelbagai aspek seperti dasar – dasar kerajaan dan perlembagaan. Ditubuhkan pada 18 Mac 1966, parti serpihan daripada PAP ini secara jelas memperjuangkan untuk sebuah Malaysian Malaysia yang bebas, berunsur sosialisme demokratik, kesamarataan, hak asasi manusia dan sebuah Negara yang demokrasi.

Namun, slogan yang dilaungkan oleh DAP ini secara jelas ditentang oleh kaum Melayu dan Bumiputera di Malaysia. Mereka berpendapat, DAP sepatutnya menghormati perlembagaan dan keistimewaan kaum melayu dan bumiputera dalam perlembagaaan Malaysia. Penentangan DAP dalam beberapa isu nasional juga tidak disenangi oleh ramai pihak. Akibat beberapa isu nasional, kerjasama DAP dan parti gabungan meraka dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS juga hancur. Dasar PAS yang meletakkan asas Islam sebagai asas parti serta Hukum Hudud sebagai keutamaan tidak dipersetujui oleh DAP. Walaupun di dalam parti yang kononnya pelbagai kaum ini terdapat kaum melayu, namun suara mereka seolah – olah hilang ditenggelami disebalik suara kaum Cina. Pada Mei 2012, Naib Pengerusi DAP yang merupakan wakil melayu dalam DAP iaitu Tunku Abdul Aziz telah keluar dari DAP. DAP bukan sahaja terpalit dengan isu perletakan jawatan dari kaum melayu tetapi terdapat juga isu perletakan jawatan dari kaum cina dalam DAP.

Parti DAP juga tidak dapat lari daripada pelbagai isu politik yang dimainkan. Isu – isu yang berkisar dalam parti DAP adalah seperti dituduh sebagai parti politik keluarga, krisis pemecatan ahli parti yang tidak berpuas hati dengan pimpinan atasan dan juga satu parti yang dilihat begitu keras menentang hak bumiputera. Didalam Pakatan Rakyat sendiri, DAP dilihat seolah – olah menjadi ketua dalam pakatan yang mana sikap keras pemimpin DAP dan kemenangan kerusi yang banyak dalam pilihanraya menjadi faktor kepada perkara tersebut. Walaupun dihimpit dengan pelbagai isu, kaum Cina dilihat lebih cenderung menyokong parti DAP dan mereka yakin dengan perjuangan DAP berbanding parti kaum Cina yang pro kerajaan. Secara umumnya, DAP boleh menjadi parti kesukaan kaum Cina tetapi untuk membentuk kerajaan DAP juga memerlukan sokongan kaum – kaum lain di Malaysia. Oleh itu, hubungan bersama adalah penting untuk merealisasikan perkara tersebut. Selain itu, DAP juga perlu mengambil kira tentang kepentingan dan hak – hak kaum Bumiputera jika ingin medapatkan sokongan yang kuat daripada kaum Bumiputera.


   III.         PAS (PARTI ISLAM SE-MALAYSIA)

PAS merupakan salah satu parti politik yang begitu berpengaruh di Malaysia. Bermula dengan pengharaman kumpulan Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh British pada tahun 1948, parti yang dahulunya dikenali dengan berbagai nama ini akhirnya ditubuhkan pada 4 November 1951. Parti yang meletakkan dasar islam sebagai wadah perjuangannya ini mengorak langkah dan mendaki sedikit demi sedikit untuk mecapai kejayaan. Pada pilihanraya 1955 sebelum merdeka, pas berjaya memperolehi kemenangan 1 kerusi. PAS terus mengorak langkah pada pilihan raya selepas itu dengan beberapa kejayaaan yang boleh dibanggakan. Selepas terjadi tragedi 13 Mei 1969, PAS menerima pelawaan UMNO untuk bersatu di bawah BARISAN NASIONAL.  Namun kerjasama PAS dan UMNO dalam BARISAN NASIONAL akhirnya terkubur selepas krisis darurat di Kelantan pada tahun 1978 yang mana PAS menuduh UMNO telah mengkianati mereka. Akhirnya PAS keluar dari Barisan Nasional dan bergerak secara berseorangan.

Kesan penggabungan dan perpecahan ini amat perit buat PAS. PAS terpaksa membina kembali parti dan membaiki segala kelemahan yang ada. PAS juga mengalami perpecahan dalaman sehingga terbentuknya serpihan dari parti PAS iaitu Parti BERJASA dan Hamim. PAS telah mengambil masa yang begitu lama untuk bangkit kembali dan akhirnya PAS berjaya bangkit dibawah Tuan Guru Yusuf Rawa dan meletakkan slogan kepimpinan ‘ulama’. Di bawah slogan kepimpinan ulama, PAS terus utuh membina perjuangannya dan terus mencorakkan masa depan yang cerah. Di bawah kepimpinan Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Nor dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang PAS terus kuat dan terus memperjuangkan bangsa dan agama di Malaysia. Suara – suara PAS dalam parlimen semakin lantang dan memberikan impak yang kuat kepada keputusan yang dibuat oleh kerajaan pada ketika itu. Di bawah pengaruh Ustaz Fadzil, PAS kembali berjaya menawan Kelantan pada tahun 1990 dan Terengganu pada tahun 1999. Turut menyumbang kekuatan dan keutuhan parti PAS ialah pengaruh yang kuat tentang keperibadian Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang merupakan Mursyidul Am PAS yang paling disegani.

Kesempurnaan PAS sebagai parti politik yang kuat dan disegani sedikit terjejas kerana PAS dilihat hanya memperjuangkan Islam dan Melayu sahaja. PAS perlu bergabung dan bekerjasama dengan parti lain yang pelbagai bangsa untuk menubuhkan kerajaan jika pas memenangi kerusi yang banyak dalam pilihanraya umum di Malaysia. Hasrat untuk merealisasikan penubuhan kerajaan ini semakin cerah apabila berlakunya krisis pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan penubuhan reformasi pada tahun 1999. Akhirnya PAS dapat membentuk satu pakatan dengan parti yang mempunyai semua kaum dan pelbagai pendapat iaitu BARISAN ALTERNATIF. Namun terdapat kekurangan dalam penubuhan BARISAN ALTERNATIF kerana penubuhannya tidak didaftarkan dan penubuhannya adalah sekadar untuk bekerjasama pada luaran sahaja. Namun pada tahun 2008, kerjasama erat ini akhirnya dapat dibina dan semakin direalisasikan dengan tertubuhnya PAKATAN RAKYAT. PAS dengan idea dan ketegasannya yang tetap ingin menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan hukum hudud tampak memberikan cabaran kepada parti sekutunya iaitu DAP. DAP yang jelas dan terang mahukan Malaysia sebagai Negara Sekular dengan terang – terangan menentang dan membangkang idea yang ingin dilaksanakan oleh PAS. Akhirnya, kedua – dua pihak mengumumkan tidak lagi bekerjasama antara satu sama lain dan menyebabkan berlaku perpecahan dalam PAKATAN RAKYAT. Keadaan perpecahan ini juga menyebabkan sekutu mereka iaitu PKR terpaksa memilih dan akhirnya PKR memilih untuk bekerjasama dengan DAP.

Perpecahan dalaman juga merupakan faktor longgarnya kekuatan parti PAS. Selepas pemergian Tuan Guru Mursyidul Am Dato Nik abdul Aziz Nik Mat, ahli – ahli PAS kelihatan sedikit goyah dengan berlakunya puak dalam pas iaitu puak yang menyokong kepimpinan ulama serta Presiden dan puak yang menyokong kepimpinan golongan professional serta timbalan presiden. Akhirnya, perpecahan 2 golongan ini telah diterjemahkan sendiri oleh ahli PAS pada pemilihan Muktamar Pas 2015 dengan kemenangan yang banyak berpihak kepada golongan ulama. Kekalahan golongan professional dalam PAS menyebabkan kekecewaan kepada beberapa pemimpin pas dan akhirnya mereka keluar dari PAS dan membentuk parti baharu iaitu PARTI AMANAH NEGARA (PAN) yang diketuai oleh Mohammad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu. Perpecahan dalaman ini tampak memberi sedikit kesan kepada PAS dan pas perlu membuktikan bahawa PAS masih relevan dan mampu memberikan kepimpinan yang mantap dan jitu dalam usaha untuk menguasai arena politik Malaysia.


Kepelbagaian parti politik memberikan banyak pilihan dan kuasa memilih untuk masyarakat di Malaysia namun disebalik pilihan parti politik yang ada ini juga boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Pimpinan – pimpinan tertinggi setiap parti politik perlu mengambil langkah yang betul dan terbaik dalam menangani krisis – krisis yang berlaku supaya  tidak terjadi perpecahan dalam masyarakat Malaysia. Setiap parti politik perlu mengamalkan cara berpolitik yang sihat dan tidak perlu mengeluarkan provokasi secara melampau. Setiap ahli dalam parti politik perlu faham bahawa walaupun  mewakili dan menjadi ahli parti, hidup bermasyarakat, pergaulan dan kemesraan sebagai rakyat Malaysia juga perlu diteruskan. Keghairahan berpolitik sesetengah ahli parti juga kadangkala menyentuh isu sensitviti sesuatu kaum di Malaysia. Isu –isu sensitf yang melibatkan bangsa dan agama sesuatu kaum di Malaysia ini perlu dielakkan dan tidak perlu diganggu gugat kerana jika perkara ini disentuh ianya akan menyebabkan berlakunya ketegangan dan akan meninggalkan luka dan menyebabkan barah yang semakin lama semakin membesar. Memperjuangkan parti tidak perlu sampai menghina dan mencaci bangsa dan agama lain. Memperjuangkan parti cukup untuk menyatakan setiap perjuangan yang dicanang adalah untuk kepentingan dan kemajuan Negara kita.

Setiap parti politik juga mempunyai cara yang tersendiri dalam menyatakan isi perjuangan parti. Rakyat marhaen sekarang ini sudah pandai menilai kebaikan sesebuah parti politik dan pilihan yang ada kebanyakannya pada rakyat marhaen bukan pada setiap ahli politik. Menjadi rakyat tidak semestinya perlu menjadi ahli sesebuah parti politik. Penilaian rakyat pada ketika ini adalah melihat sebuah parti politik yang memperjuangkan semua hak rakyat Malaysia tidak kira dari bangsa apa pun. Rakyat juga menilai bagaimana sesebuah organisasi parti politik mampu memberikan khidmat yang terbaik dan mampu menangani anasir luar yang menjalar di dalam kehidupan dan pemikiran rakyat Malaysia. Pada masa ini, kita sedang membina satu bangsa iaitu bangsa Malaysia dengan kepelbagaian agama yang dianuti bukannya membina kepelbagaian kaum dengan kepelbagaian agama. Konsep membina kaum perlu dicantas dan dibuang dalam pemikiran rakyat Malaysia. Untuk kemajuan Negara tercinta ini kita perlu membina satu bangsa sahaja dengan kepelbagaian agama yang dianuti dan bangsa Malaysia ini perlu menghormati setiap agama yang mereka anuti.

Oleh sebab itu, setiap parti politik perlu merenung dan bermuhasabah kembali tentang asal usul penubuhan dan perjuangan yang dicanang semasa mula – mula menubuhkan organisasi ini. Wadah perjuangan dan kepentingan rakyat perlu didahulukan dan diutamakan bukannya mengutamakan kepentingan diri dan individu semata – mata. Menjadi ahli politik dan memegang kuasa memang hebat tetapi perlu diingat bahawa pilihan adalah ditangan rakyat marhaen yang sentiasa menilai gerak kerja setiap ahli politik dan parti politik. Selain dinilai di atas dunia yang fana ini, mereka juga perlu ingat bahawa Tuhan juga sentiasa menilai dan memerhatikan mereka. Ramai rakyat berharap setiap ahli dan parti politik perlu kembali kepada wadah berjuangan yang asal yang membela rakyat dan memacu Negara ke arah pembangunan dan merealisasikan wawasan Negara yang maju bukannya berperang sesama sendiri, mengata dan mengadu domba sehinggakan rakyat tidak tahu lagi ke mana arah tuju Negara sebenarnya.

Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin yang betul – betul memperjuangkan nasib dan membela rakyat. Rakyat Malaysia memerlukan pemimpin yang betul – betul membawa Negara ke arah kemajuan dan kesejahteraan. Kami sebagai rakyat tidak mahu lagi melihat pertelagahan yang sia – sia diantara pemimpin dan apa yang kami mahu adalah para pemimpin yang mampu bertoleransi, bertanggungjawab, adil, mementingkan rakyat, membela nasib rakyat dan mampu membawa pembagunan dan menyediakan segala kemudahan kepada rakyat. Kami sebagai rakyat sudah jemu dan bosan melihat pertelagahan ini. Dalam keadaan ekonomi dan tekanan hidup yang semakin lama semakin teruk, kami berharap setiap pemimpin dan setiap parti politik dapat menyelami kembali hasrat dan impian rakyat Malaysia yang berbilang agama ini.




Bersambung: Kesangsian hidup bermasyarakat…